Perkhidmatan Kami

Perkhidmatan Kami
DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU-MANAF HAMZAH

DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU


Alhamdulillah, ramai yang membeli novel lagenda ini :), dari utara ke selatan.  Ada dari Kedah, Perak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pantai Timur.  Oleh kerana sambutan yang menggalakkan, Nazqim Bookstore telah menambah stok novel Dedaun Hijau di Angin Lalu.  Sila hubungi kami untuk urusan pembelian dan penghantaran. 012-7727567 atau 019-7404567

Thursday, January 28, 2016

Jangan Banyak Fikir, Buat Sajalah.



Ketika mula-mula berniaga, banyak perkara yang saya tidak tahu. Saya tidak pernah buat binding dan laminate. Saya kerja dulu dalam bidang Accounts dan Admin. Fotostate dan fax pernahlah saya buat. Itupun kalau mesin fotostate rosak, saya memang angkat tangan. Malah, saya tidak pernah pun masukkan kertas dalam mesin itu. Yang saya tahu, tekan butang, jalan. Tekan nombor fax, siap. Adakah adakah saya belajar binding dulu, laminate dulu, kemudian barulah saya buka kedai? Tidak. Saya belajar SEMASA saya berniaga, bukan sebelum. Kalau semua benda saya nak tahu sebelum saya berniaga, saya rasa saya akan bosan belajar dan lama-lama sudah tidak ada semangat berniaga lagi. Maklumlah, sarat dalam kepala dengan banyak perkara. 
          Pada awalnya saya hanya jual buku dan alat tulis. Mungkin 80% buku dan 20% alat tulis. Kemudian, ada permintaan terhadap fotostate. Saya pun mencari pembekal mesin fotostate. Alhamdulillah, semasa sedang makan di medan selera bangunan MARA, Larkin, saya terpandang iklan pembekal mesin fotostate. Pembekal Bumiputera. Saya hubungi syarikat berkenaan dan dari situlah bermulanya kerjasama di antara kami ; lebih kurang lima tahun yang lalu. Saya tidak membeli mesin fotostate itu. Saya hanya menyewanya sahaja. Saya tidak tahu sangat mengenai fotostate. Pekerja/juruteknik syarikat inilah yang mengajar saya banyak perkara. Macammana mahu fotostate I/C, fotostate depan belakang, cara menggunakan feeder, mahu kecilkan dan besarkan imej, dan lain-lain lagi. Saya juga diajar bagaimana membuka mesin fotostate untuk menarik kertas yang tersangkut. Saya memang tidak berapa suka bidang teknikal, tetapi takkanlah kertas sangkut pun mahu panggil technician mereka datang. Kesian mereka. Perlu juga pertimbangkan masalah orang lain, kan? Lalu, saya belajar. Selalunya saya berjaya selesaikan sendiri jika ada masalah kecil-kecil seperti itu. Kalau saya tidak dapat selesaikan, barulah saya hubungi pembekal. Juruteknik mereka datang sebulan sekali untuk periksa meter. Kalau toner habis, saya hanya perlu menelefon dan mereka akan datang untuk menambah semula. Fotostate...satu kerja yang saya tidak jangka saya akan buat. Mengambil arahan dari pembeli, ada yang ok, ada yang kurang sikit adabnya, namun adat berniaga, telan sahajalah. 
       Kemudian, ada pula pelanggan yang bertanya mengenai binding dan laminate. Dua mesin ini amatlah asing bagi saya. Bagaimana kalau saya silap nanti? Namun, saya fikir, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Lalu saya beli mesin binding dari pembekal alat tulis dan mesin laminate dari pembekal alatan pejabat. Saya minta tunjuk ajar dari jurujual mesin laminate itu. Rupanya dia tidak tahu cara penggunaan mesin tersebut. Berpeluh-peluh dia. Tengok manual, cuba, baca manual, cuba lagi. Hari itu, kedua-dua saya dan dia belajar perkara baru; bagaimana menggunakan mesin laminate. Memang kelakar bila jurujual tidak tahu, tapi tidak mengapa. Kita tanya elok-elok, insyaAllah, dipermudahkan. Tidak perlu marah-marah, kita dan dia manusia biasa kan? Mungkin satu hari kena pada kita pula. Memang kena pun dengan saya selepas itu. 
           Satu hari, seorang pelajar IPT mahu laminate cukai jalan motornya. Alamak, saya tidak pernah laminate cukai jalan. Serasa seperti tidak mahu menerimanya. Namun terfikir, rezeki jangan ditolak. Saya beritahu pemuda itu, saya tidak pernah laminate kertas kecil. Takut pula kalau mesin ini buat hal, cukai jalan itu tidak keluar-keluar dari mesin itu. Itu kata saya. Pemuda itu senyum. "Keluar kak, jangan risau. Saya dah pernah buat", katanya. Lalu, pemuda itulah mengajar dan meyakinkan saya that it'll turn out to be allright. And luckily, it did. Wah, itu satu kejayaan bagi saya. Baiknya dia. Tidak pun mengutuk saya dengan kata-kata kesat. 
       Selepas laminate, ada permintaan untuk binding pula. Saya belajar menggunakan mesin binding dari jurujual juga. Hari pertama, ada perkara yang dia juga tidak tahu. Hari kedua, barulah masalah selesai. Saya beranikan diri untuk binding kerja-kerja sekolah budak-budak di sekitar sini. Mungkin ada kesilapan pada awalnya. Namun, alah bisa tegal biasa. Saya sudah berani binding kertas kerja pelajar-pelajar IPTA juga. 
    Begitulah. Kalau terlalu banyak fikir dan terlalu banyak takut dalam diri, tidak kemanalah saya. Saya buat sahajalah, sambil belajar perlahan-lahan. Jangan malu bertanya. Juga jangan marah jika ada pelanggan memberi pandangan. Manusia di sekitar kita kan datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Jangan pandang rendah kepada mereka. Dengar nasihat dan pandangan mereka. Tidak perlu mengikut kesemuanya. Nilaikan dan buat keputusan. Listen to your mind but follow your heart. 

Tuesday, January 12, 2016