Jadikan Minat Sebagai Perniagaan
Kata mendiang Steve Jobs, bekas CEO
syarikat pengeluar computer Apple, “ You’ve got to find what you love”,
(Anda mesti mencari apa yang anda sukai).
Kenyataan ini diambil dari ucapan beliau di majlis Commencement Standford
University, Amerika Syarikat pada tahun 2005. Jobs menekankan bahawa kita perlu
berani berbuat sesuatu berdasarkan kata hati kita dan bukan mendengar kata-kata
atau keputusan orang lain dalam menentukan hidup kita.
Saya amat bersetuju dengan kata-kata
beliau itu yang mana beliau sendiri berbuat sesuatu yang beliau suka sedari
muda sehinggalah ke akhir hayatnya.
Kalaulah semua orang mampu menjadi seperti Steve Jobs, menjumpai apa
yang diminati, alangkah beruntungnya kita.
Kalau kita buat sesuatu yang kita minat, kita akan buat dengan
bersungguh-sungguh dan akan mengeluarkan hasil yang bagus. Bukan itu sahaja, kita juga akan dapat
memberi kesan positif kepada diri sendiri dan
masyarakat sekeliling. Sekiranya
kita mampu menilai apa yang terbaik untuk
diri kita, kita memang bertuah. Jika
kita mengenali siapa kita dan apa sebenarnya yang kita minat dan ingin buat
dalam hidup kita, dunia ini akan menjadi sangat indah buat kita.
Minat yang mendalam inilah yang
mendorong En. Mohamad Tajudin bin Mokhtar,
40, membuka sebuah kedai basikal di Pasir Gudang. Kedai Basikal Nazqim yang diasaskan pada
tahun 2007 itu menjadi ‘rumah kedua’ kepada Mohamad Tajudin atau lebih dikenali
dengan panggilan mesranya, Joe. Minat
dalam bidang sukan basikal bermula sejak dibangku sekolah lagi apabila sukan
ini diperkenalkan kepadanya oleh seorang guru.
Sejak itulah, Joe jatuh cinta dan selalu mewakili sekolanhya dalam perlumbaan
basikal di daerah Mersing ketika itu.
Namun, minat itu terpaksa ditinggalkan seketika dek tuntutan pengajian
dan seterusnya pekerjaan sehinggalah pada tahun 2005, dia berjumpa dengan
kawan-kawan sekerja yang mempunyai minat berbasikal. Joe menyertai kumpulan mereka untuk kayuhan
santai dan sesekali menyertai pertandingan lumba basikal di kawasan sekitar
Johor dan Kuala Lumpur. Bukan sahaja
mahir berkayuh, Joe juga arif dalam bab membaiki basikal. Ini membuatkan Joe menjadi tempat kawan-kawan
mendapatkan khidmat nasihat mengenai alat ganti dan seterusnya membaiki basikal
mereka. Melihat kepada kepercayaan
kawan-kawan kepada kebolehannya, Joe mengambil peluang itu untuk menjual
basikal, alat ganti dan apa sahaja berkaitan dengan basikal secara sambilan di
rumah. Sambutan yang diterima amat
menggalakkan. Oleh itu, pada bulan
Oktober, 2007, Joe membuka kedai basikalnya sendiri yang dijaga oleh pekerja
kerana Joe masih bekerja makan gaji.
Bimbang ‘ yang dikejar tak dapat,
yang dikendong berciciran ’, Joe
akhirnya meletak jawatan sebagai chargeman
di sebuah kilang dan menguruskan kedainya sendiri.
Menjadikan hobi sebagai kerjaya
membuatkan Joe sentiasa bersemangat untuk memajukan diri dan
perniagaannya. Kalau mula-mula berniaga
dulu, Joe hanya mempunyai kedai separuh yang dikongsi dengan orang lain, kini
dia mampu menyewa satu kedai penuh bermula pada tahun 2010 untuk menampung stok
dan pelanggan yang semakin bertambah.
Kalau dulu Joe hanya menjadi peserta dalam perlumbaan basikal anjuran
organisasi lain, sekarang, dengan jaringan kawan dan pelanggan yang kuat, Joe
mampu menganjurkan pertandingan.
Sentiasa ligat berfikir dan berusaha menambah jualan disamping mencari
peluang berbakti kepada masyarakat setempat, semangat Joe semakin kuat dan
berkobar-kobar untuk terus mengorak langkah menuju kejayaan.
Kedai
Basikal Nazqim – sudah lima tahun beroperasi
Pengayuh
basikal dari Singapura singgah di Kedai Basikal Nazqim, Pasir Gudang, Johor.
Encik
Mohamad Tajudin bin Mokhtar
Pada
tahun 2008, Joe pernah menganjurkan
perlumbaan basikal untuk kanak-kanak yang tinggal di sekitar taman perumahan
berdekatan dengan kedainya. Acara yang
julung kali seumpanya itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan
kanak-kanak. Mereka sentiasa menantikan
acara seperti itu diadakan lagi. Jadi, pada
20hb November, 2011, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Joe menganjurkan satu lagi pertandingan lumba
basikal. Kali ini dengan skala yang
lebih besar iaitu terbahagi kepada beberapa kategori seperti veteran, terbuka,
basikal fixie dan kanak-kanak. Kejohanan
ini diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor. Joe yang berperanan menguruskan bahagian
teknikal, juga bekerja keras mempromosi mengajak rakan-rakan dan
pelanggan-pelanggan menyertai kejohanan ini.
Pasir Gudang tidak pernah mengadakan acara seumpamanya sebelum ini. Apabila Joe berjumpa dengan pihak MPPG dan
mencadangkan supaya diadakan kejohanan lumba basikal, pihak MPPG menyambut baik
cadangan itu. Inilah peluang keemasan
untuk menarik pelancong untuk datang ke bandar Pasir Gudang yang pesat
membangun sekarang ini. Pelumba-pelumba
yang menyertai perlumbaan ini datang dari segenap pelusuk Malaysia dan juga
Singapura. Joe amat berterima kasih
kepada mereka kerana sudi memberi kerjasama dalam acara yang dianjurkannya.
Dalam bidang perniagaannya pula, Joe
mengatur langkah demi langkah untuk maju ke depan. Dia sentiasa bersaing secara sihat dan
mengikut perkembangan semasa. Kalau
dulu, pelanggan hanya boleh membeli secara tunai di Kedai Basikal Nazqim, kini
mereka boleh menggunakan kad kredit untuk mempermudahkan urusan mereka. Begitulah jika kita melakukan sesuatu yang
kita minat menjadi perniagaan kita. Kita
akan sentiasa bersemangat untuk memajukan diri dan perniagaan itu.
Menurut kata Dato’ Dr. Rusly
Abdullah / Chef Li dalam bukunya, Petunjuk Jalan Kekayaan, seseorang itu mesti
terlebih dahulu mencari keserasian dalam bidang yang ingin diceburinya. Sebagai contoh, jika kita buntu memikirkan
perniagaan apa yang ingin diceburi, kita boleh imbas kembali apa hobi kita masa
kita kecil dahulu. Mungkin hobi kita
memasak tetapi kita bercita-cita untuk menjadi guru. Bila besar, minat berniaga pula datang. Jadi, kita gabungkan minat dan cita-cita kita
menjadi satu, iaitu kita mengajar orang memasak. Oleh kerana kita hendak berniaga, tidaklah
boleh kita mengajar percuma, jadi kita buka kelas masakan. Kita buat sesuatu yang kita suka, akhirnya
kita akan berjaya, InsyaAllah.
Maka, carilah dan galilah apa yang kita benar-benar suka,
betul-betul minat atau jatuh cinta
sepenuh hati. Selagi tidak berjumpa,
teruskan mencari, jangan berhenti.
Kemudian, buatlah apa yang kita mahu buat, bukan apa yang orang lain
suruh kita buat. Jadilah apa yang kita
nak jadi, bukannya apa yang orang lain nak kita jadi. Jatuh bangun kita, hanya kita yang lalui
sendiri. Pedulikan cakap-cakap yang
tidak berguna. Anggaplah ia sebagai
halangan yang tidak diperlukan. Teruskan
mencari apa yang kita ingini. Ikutlah
suara hati kerana hanya kita yang
mengenali diri sendiri.
No comments:
Post a Comment