Ramai yang faham mengenai konsep dan pentingnya wasiat, tetapi masih ramai yang belum melakukannya dan memerlukan bantuan dalam melakukannya. Wasiat yang lengkap perlu menggariskan bagaimana soal kewangan serta harta yang anda tinggalkan perlu diedarkan serta prosedur yang perlu diikuti keluarga tercinta.
Pastinya anda juga pernah mendengar kisah keluarga bergaduh akibat harta selepas pemergian orang tersayang dan tidak kurang juga kisah harta yang terpaksa dibekukan akibat tidak meneydiakan wasiat yang lengkap. Semoga dijauhkan keadaan sebegini apabila kita sudah pergi.
Cara terbaik dalam menangani wasiat adalah melalui peguam atau syarikat wasiat yang bertauliah dalam menyediakan dan melaksanakan wasiat. Segala isi kandungan dan butir wasiat perlu lengkap dalam menangani harta peninggalan sekiranya anda pergi secara mengejut.
Jangan lupa juga wasiat perlu dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut penambahan harta kita.
Soal insurans dan wasiat sememangnya berat untuk dibincangkan bersama keluarga. Namun, ia satu keperluan yang amat penting dibincangkan bersama suami, isteri dan juga anak-anak. Malang tidak berbau dan hidup mati di tangan Tuhan. Pastikan peninggalan kita tidak meninggalkan beban kepada keluarga yang tercinta satu hari nanti.