Semalam, hampir sehari suntuk saya menyaksikan/mendengar youtube mengenai kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Entah kenapa tergerak hati untuk mendengar ceramah sebegitu.
Mendengar cerita ustaz mengenai kesedihan sahabat-sahabat Rasulullah apabila Baginda telah tiada, terutamanya Bilal yang tidak mahu lagi melaungkan azan. Namun dek pujukan cucu-cucu Nabi s.a.w, Bilal gagahkah diri, kuatkan hati untuk melaungkan azan. Namun, di saat menyebut kalimah "Ashadu anna Muhammad Rasulullah", Bilal rebah lalu pitam. Begitulah sayangnya Bilal kepada Rasulullah.
Siapa sangka, gerak hati itu seperti berkait. Siang mendengar cerita kewafatan Nabi s.a.w, malam pula mendapat berita Tok Guru Nik yang kuat mengamalkan sunnah Nabi s.a.w ini pula meninggal dunia malam tadi, pada pukul 9.40.
Mungkin ada yang tidak menangis, namun saya gagal menahan airmata. Sungguh sebak hati ini menerima berita ini, namun bersyukur kerana menyanjungi dia ketika hayatnya, bukan sekadar mengenangnya selepas ketiadaannya.
Tok Guru Nik Aziz, hamba Allah yang dianugerahi ilmu agama dan ilmu kepimpinan. Tak ramai tok guru yang memegang pucuk pimpinan. Haji Hadi pun memegang jawatan Menteri Besar Terengganu hanya sekejap iaitu dari 30.11.1999 - 21.03.2004 namun Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun ( 22 Oktober 1990 - 6 Mei 2013). Pentadbiran yang Islamik. Semoga Allah menerima segala amal dan usaha beliau menaikkan agama Islam di bumi Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.
Innalillahiwainnailahiraajiun. Didoakan Tok Guru terlepas siksa kubur dan dimasukkan ke dalam syurga. Semoga sahabat-sahabat dan anak-anak didikannya tabah dan terus menyambung perjuangan beliau. Takziah kepada keluarganya.
No comments:
Post a Comment